Pelayaranku

Pelayaranku

Sunday, December 11, 2011

HUKUM SOLAT DALAM TELANJANG



Sekiranya tidak mempunyai pakaian untuk menutup aurat, harus bagi seorang itu bersolat dalam keadaan telanjang. Dia hendaklah bersolat dalam keadaan berdiri dan melakukan kesemua rukun-rukun perbuatan seperti biasa.

Sebelum itu mesti ada yang bertanya mengapa harus seorang itu bersolat dalam keadaan telanjang ataupun bogel? Beberapa keadaan yang mungkin menyebabkan seseorang terpaksa solat dalam keadaan telanjang :-

- Dikurung dalam bilik dalam keadaan telanjang
- Dirompak semua barang kemas, wang dan semua pakaian
- Pakaian yang ada rosak sebab terbakar dan tidak ada pakaian lain

Keadaan ini adalah disebabkan oleh keadaan dharurat samada disebabkan kemiskinan ataupun menjadi tawanan perang, tebusan ataupun diculik penjahat.


Tidak harus baginya solat dalam keadaan duduk untuk menutup sebahagian auratnya. Ini kerana memenuhi rukun-rukun solat seperti berdiri dan rukuk adalah lebih perlu dipelihara daripada memelihara fardu atau syarat sah solat, iaitu menutup aurat. Kewajipan menutup aurat gugur salam keadaan ini.

Solat yang dilakukan dalam keadaan telanjang ini tidak perlu diulang semula setelah mendapat pakaian. Kerana ia adalah keuzuran umum yang terlalu membebankan jika diwajibkan ulang.

Tetapi sekiranya ketika seseorang itu bersolat, dia diberikan pakaian untuk menutup auratnya dan pakaian itu pula berada berhampiran dengannya, wajib dia mengambil dan memakainya. Kerana keharusan solat tanpa menutup aurat telah gugur dengan adanya pakaian tersebut.

Jika pakaian terlalu jauh atau sukar untuk diambil sehingga terpaksa melakukan banyak pergerakan, sedangkan waktu solat sudah terlalu suntuk tidak harus dia mengambilnya malah jika dia bergerak terlalu banyak batal solatnya.

SOLAT JEMAAH DALAM TELANJANG

Sekiranya terdapat dua atau lebih orang Islam yang hendak bersolat tetapi tidak mempunyai pakaian atau apa-apa bahan untuk menutup aurat mereka, adakah mereka perlu solat berjemaah?

Imam As-Syafi’ie dalam pendapatnya yang qadim menyatakan bahawa tidak harus berjemaah kerana ia menyebabkan mereka saling terpandang aurat orang lain. Tetapi dalam pendapatnya yang jadid (baru), beliau menggalakkan mereka melakukan solat secara berjemaah.

Cara perlaksanaan :-

Semua jemaah berdiri satu saf dengan imam dan semua orang memandang kehadapan atau keatas agar tidak terlihat aurat orang lain. Sekiranya terpaksa membuat dua saf atau lebih, hendaklah semua jemaah memejamkan mata. Begitu juga keadaannya sekiranya jemaah tersebut semuanya perempuan.

KESIMPULAN

Ini menunjukkan betapa Solat itu adalah satu perintah Allah dan kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan walaupun dalam keadaan darurat seperti topik diatas ini. Walaupun ditangkap menjadi tawanan dan ditelanjangkan mungkin kita memikirkan bahawa kewajipan Solat itu telah menjadi bukan lagi satu kewajipan. Namun demikian Solat adalah satu perintah yang amat besar dan yang terunggul selepas Iman dan tiada alasan untuk meninggalkannya.

Begitu juga dengan Solat berjemaah yang juga merupakan satu perintah yang begitu besar untuk semua umat Islam terutama orang lelaki. Dalam kita hidup dengan aman dan mewah ini kita diberi nikmat kelapangan oleh Allah SWT. Sebagai tanda bersyukur maka kita harus melaksanakan segala perintah Allah dengan terbaik agar kita dipandang oleh Allah dan mendapat keredhaan dan pengampunan dariNya. Wallahua’lam.

1 comment:

Nor Aziah Mior Aziz said...

maaf ya, hujah ulamak mana yang disandarkan?

Post a Comment