Pelayaranku

Pelayaranku

Saturday, October 1, 2011

SELAMAT TINGGAL AYAH



Ayah telah pergi meninggalkan emak dan kami 10 adik-beradik buat selama-lamanya. Segala kasih-sayang, jasa dan susah senang bersama ayah akan menjadi kenangan buat kami semua. Tanggal 28 September 2011 bersamaan 30 Syawal 1432 adalah tarikh pemergian ayah ke Rahmatullah.

Perginya ayah dengan penuh ketenangan dan ayah seolah-olah mengetahui beberapa minggu sebelum itu yang dia akan meninggalkan kami semua. Tiga minggu sebelum itu ayah tidak lagi menjamah apa-apa makanan dan dia hanya minum sedikit air.

Ayah selalu bertanya tentang anak-anaknya, bagaimana mereka sekarang dan dimanakah mereka. Emak akan sabar menjaga ayah dan menjawab setiap soalan dari ayah. Ayah telah dibawa ke Hospital Sungai Buluh tetapi dia tidak mahu dimasukkan ke dalam wad. Biarlah dia hanya dijaga dirumah sahaja.

Tiga hari sebelum ayah meninggal, semua adik-beradik aku sudah berada dirumah ayah untuk menziarahinya. Hari itu adalah hari Ahad. Ayah beritahu supaya menunggu 3 hari lagi sehingga hari Rabu barulah pulang kerumah masing-masing. Abang-abangku yag tinggal di Perak terpaksa pulang kerana bekerja dan mempunyai urusan masing-masing. Mereka tidak menduga apa-apa ucapan ayah kerana ayah kelihatan seperti biasa sahaja.

Ayah juga ada memberitahu adik bongsuku dan kakakku secara berseloroh bahawa ayah lahir pada hari Rabu dan mungkin akan meninggal pada hari Rabu dalam pukul 7 setengah pagi. Mereka hanya mengabaikan sahaja perkataan ayah.

Aku pula berada ditengah lautan, sedang bekerja selama 2 minggu. Setiap hari aku akan menelefon untuk mengetahui perkembangan terkini. Aku begitu risau sekiranya tidak dapat bertemu ayah buat kali yang terakhir. Kali terakhir aku bertemu dengan ayah dan emak adalah ketika dibulan puasa 2 minggu sebelum hari raya.

Ketika hari raya aku pula berada di laut tetapi semua adik-beradikku dapat berhari raya bersama ayah buat kali yang terakhir. Dapat juga ayah menatap anak kecilku yang baru berusia 2 bulan yang merupakan cucu ayah yang terakhir yang dapat ayah lihat.

Aku pulang dari kerja pada hari Selasa 27hb September dan tiba di KLIA pada pukul 8 malam. Apabila aku menghidupkan telefon bimbitku aku menerima banyak mesej yang dihantar oleh adikku dan isteriku menyuruhku agar segera menelefon mereka. Barulah aku tahu yang ayah sudahpun tenat dan nazak.

Aku terus mengambil teksi dan menuju ke Bandar Tasik Puteri di Rawang. Ketika aku sampai sudah ramai adik-beradik dan saudara mara berada dirumah ayah dan emak. Perasaanku begitu hiba apabila melihat ayah yang dalam keadaan nazak dan susah untuk bernyawa. Kami mengangkat ayah dan membaringkannya diatas tilam diruang tamu.

Ayah masih boleh melihatku tetapi sudah tidak boleh menuturkan sebarang perkataan. Pandangannya sudah kecil dan sayu sekali. Dia merenung aku dan kelihatan airmatanya berlinangan dan aku terus mengusap rambutnya dan menciumnya.

Aku bisikkan ketelinga ayah bahawa aku sudah sampai dan aku beritahu yang aku begitu sayangkan ayah. Aku ucapkan terima kasih kepada ayah kerana telah mendidik dan membesarkan aku dengan baik sehingga kami adik-beradik telah berjaya dan menjadi manusia yang berguna.

Pagi itu selepas pukul tujuh aku berada diluar untuk bersarapan pagi bersama adik-beradik dan saudara mara. Kami meninggalkan makanan kami ketika kakak iparku memanggil kami semua. Apabila kami mengerumuni ayah dipembaringan, ayah sudah pergi buat selama-lamanya.

“Sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan merasai maut. Daripada Allah kita datang dan kepadaNya juga kita akan kembali”

Kami adik-beradik yang memandikan jenazah ayah dan mengkapankannya dibimbing oleh imam surau berhampiran. Anak-anak dan cucu-cucu ayah masing-masing berebut untuk memberi penghormatan yang terakhir buat ayah. Segalanya amat mudah sekali.

Setelah kami solat jenazah di Surau Ghufran di Blok 28 jenazah ayah dibawa di Bandar Country Homes Rawang untuk dikebumikan. Sudah ada satu liang sedang digali dan hampir siap. Kubur ayah bernombor 555 itu diapit oleh kubur 554 dan 556 dikiri dan kanan.

Aku masih teringat kepada pesanan ayah kepada emak sebelum dia meninggal bahawa sekiranya dia meninggal tidak perlu dibawa kekampungku di Beruas Perak, cukuplah dikebumikan disini. Dia juga berpesan agar ditanam diantara dua kubur dikiri dan kanannya.

Walaupun kami tidak menempah kubur untuk ayah tetapi segala sudah diatur oleh Allah SWT, sepatutnya kubur ayah yang terakhir tetapi sudah ditakdirkan rezeki beliau begitu, seperti yang dimahukan sebelum ayah meninggal dunia.

Ayah hidup dari tahun 1930 sehingga 2011 dan berusia 81 tahun. Ayah telah mengerjakan haji ketika bekerja selama setahun di Arab Saudi. Ayah pernah keluar berdakwah selama 40 hari dan sudah pergi ke India, Pakistan dan Bangladesh selama 4 bulan berdakwah disana.

Walaupun ayah bukan seorang guru agama, tetapi bagiku pengetahuan atau ilmu agama ayah begitu banyak dan menjadi sumber rujukan bagi kami adik-beradik dan juga penduduk kampung. Ini mungkin dipelajari oleh ayah melalui tok wan kami yang merupakan seorang guru agama di Sungai Daun, Yan, Kedah suatu masa dahulu.

Semoga roh ayah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan segala dosa ayah diampuni Allah. Semoga Allah SWT menerima segala amalan dan ibadah ayah ketika dia hidup didunia ini serta menjauhkan dari neraka dan dimasukkan kedalam syurga oleh Allah SWT. Aamin. Al-Fatihah buat ayah tercinta.

1 comment:

hanani nanie said...

alfatihah..takziah sir..

ia mngigatkan sy tentang arwah sy...

Post a Comment