Pelayaranku

Pelayaranku

Friday, August 26, 2011

TAZKIRAH JUMAAT TERAKHIR RAMADHAN


 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.....

Alhamdulillah..Alhamdulillahilladzi Hadana Lihadza.. Wama Kunna Linahtadiya Laula An Hadanallah… Asyhadu alla ila ha illallah...wahdahu la syarikalah..Wa Asyhadu Anna Muhammadan Abduhu Wa Rasuluh..Alladzi la nabiya ba’da...
Segala pujian hanya kepada Allah Selawat dan Salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Juga keatas Para Sahabat dan mereka yang berjuang diatas agama Allah sehingga hari kemudian.


Hari ini adalah hari Jumaat, penghulu segala hari dan hari ini juga adalah hari Jumaat yang terakhir didalam bulan Ramadhan pada tahun ini. Apakah kita sudah mendapat apa sahaja niat ataupun hajat kita dibulan Ramadhan ini? Adakah bulan ketaqwaan ini telah merubah kita menjadi seorang yang lebih baik berbanding sebelum tibanya Ramadhan?


Apakah tujuan kita berpuasa? Adakah kita telah dapat mendidik nafsu kita sehingga meningkat ketahap yang lebih baik, yakni dapat mentaati setiap perintah dari Allah SWT. Ataupun sama sahaja dan tiada apa-apa yang meningkat atau menurun....mungkin berat badan kita yang menurun beberapa kilogram.


Bulan Ramadhan ini begitu istimewa bagi umat Islam, dimana kebanyakan umat Islam akan menjadi lebih baik berbanding bulan-bulan yang lain. Tampak perubahan yang begitu ketara...tempat hiburan akan berkurangan pengunjungnya dan masjid akan bertambah bilangan jemaahnya, terutama ketika Solat Isya dan Terawih berjemaah. Al-Quran akan lebih banyak berkumandang berbanding nyanyian yang melalaikan.


Mari kita renung kehidupan kita didunia yang sementara ini. Apakah tujuan atau maksud hidup kita didunia ini? Adakah apa yang kita telah dan sedang buat ini adalah untuk mengejar maksud itu ataupun kita sedang asyik dan leka dengan perkara yang tidak akan membantu dalam perlaksanaan maksud dan matlamat hidup kita?


Saudaraku yang dirahmati Allah SWT,


Dunia ini bukanlah maksud hidup kita ataupun matlamat yang sepatutnya kita usaha dan kejar. Dunia hanyalah satu persinggahan ataupun transit untuk kita menuju satu kehidupan yang abadi iaitu kehidupan selepas mati.


Dunia adalah tempat kita mendidik nafsu dan hati kita agar menjalani kehidupan kita berdasarkan apa yang telah disyariatkan oleh Rabbul Jalil. Sekiranya kita hidup didunia ini menurut nafsu kita dan lebih teruk lagi menjadi hamba kepada nafsu maka kitalah yang akan rugi. Dan...yang paling dahsyat lagi ada dikalangan manusia yang bertuhankan nafsu. Nafsu itu kebiasaannya membawa manusia kepada perkara yang buruk lagi keji.


Salah satu cara untuk mendidik hawa nafsu adalah dengan berlapar. Juga dengan menjaga segala pancaindera kita dibulan yang mulia ini. Mendidik nafsu bukanlah satu perkara yang mudah dan hanya mengambil masa sebulan Ramadhan sahaja. Mendidik hawa nafsu adalah satu proses seluruh kehidupan kita.


Setiap diri kita mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Hanya kita sahaja yang tahu kelemahan kita. Namun demikian terkadang kita lupa terhadap kelemahan itu kerana terlalu asyik dengan perkara lain ataupun kerana selalu melihat kelemahan orang lain. Kerana itulah kita harus muhasabah diri kita setiap hari agar kita sedar akan kelemahan diri sendiri dan berusaha untuk memperbaiki diri masing-masing.


Berbalik kita kepada bulan Ramadhan yang akan meninggalkan kita tidak lama lagi. Adakah kita mengambil iktibar diatas bulan ini ataupun kita akan membiarkan ia berlalu begitu sahaja? Dalam kita teruja menyambut ketibaan Syawal hanya beberapa hari sahaja lagi, marilah kita merenung sejenak bulan Ramadhan yang akan pergi meninggalkan kita buat setahun akan datang.


TSD tidak mahu menulis begitu panjang kerana pokok pangkalnya mahukah kita berubah ataupun tidak? Adakah kita hanya mahu menjadi baik dibulan ini sahaja atupun kita mahu berterusan dan istiqamah didalam mentaati segala perintah Allah SWT?


Sebagai penutup marilah kita sama-sama berazam bersungguh-sungguh dan berusaha dengan gigih dengan istiqamah dalam agama Allah yang amat suci lagi murni. Hidup adalah satu perjuangan yang memerlukan kesabaran dan tawakkal didalam mengharungi segala ujian diatas iman dan nafsu kita.

  
Sabda Rasulullah SAW :

“Barangsiapa yang berniat untuk melakukan satu amal kebaikan  tetapi tidak dapat melakukannya maka dia di beri satu kebaikan. Dan barangsiapa yang berniat untuk melakukan suatu amal kebaikan dan dapat melaksanakannya maka Allah akan memberikan kepadanya dengan satu kebaikan yang digandakan sepuluh serta gandaan yang berlipat. Dan barang siapa yang berniat untuk melakukan suatu amal kejahatan tetapi tidak dapat melakukannya maka Allah akan memberikan kepadanya denga satu kebaikan. Dan sesiapa yang berniat melakukan satu kejahatan dan ia dapat melakukannya maka diberi kepadanya dengan satu kejahatan"


Sekiranya kita menjadikan seluruh kehidupan ini seperti bulan Ramadhan maka pasti setelah kita meninggalkan dunia ini kita akan bergembira buat selama-lamanya, bukan seperti kita bergembira menyambut Syawal tetapi lebih hebat daripada itu, didalam Jannatul Firdaus, Insyaallah...


Hiduplah didunia seperti bulan Ramadhan, mengekang nafsu kita agar kita akan menyambut Hari Raya didalam Syurga Allah SWT buat selama-lamanya. Bak kata Saidina Ali r.anhu “Sebelah kaki kita pijak nafsu dan sebelah lagi akan melangkah memasuki syurga” Wallahua’lam.



Firman Allah SWT dalam Surah Al-Fajr Ayat 27-30:-
” Wahai nafsu Mutmainnah kembalilah kepada Tuhanmu dengan  hati yang puas lagi diredhainya. Maka masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia dan masuklah ke dalam Syurgaku”
 
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.....TSD, 26 Ramadhan 1432H.

No comments:

Post a Comment