Pelayaranku

Pelayaranku

Friday, August 19, 2011

SEJARAH TURUNNYA LAILATUL QADAR

Lailatul Qadar adalah satu anugerah dari Allah SWT yang ditawarkan kepada setiap umat Nabi Muhammad SAW yang dipanggil sebagai umat yang terbaik sedangkan usia mereka pendek dan begitu singkat berbanding umat-umat yang terdahulu.

Didalam Al-Quran, Surah Al-Qadar dikatakan bahawa malam ini lebih baik daripada seribu bulan, yang bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan. Sungguh beruntung orang yang memperoleh kesempatan untuk beribadah dimalam itu, seolah-oleh dia telah beribadah selama 83 tahun dan 4 bulan.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Anas r.a yang terdapat didalam Kitab Durrul Mantsur, Rasulullah SAW bersabda, “Lailatul Qadar telah dikurniakan kepada umat ini (umat Muhammad SAW) dan tidak kepada umat yang lain”

SEBAB-SEBAB TURUNNYA LAILATUL QADAR

Rasulullah SAW pernah merenung tentang usia umat-umat terdahulu yang begitu panjang, sedangkan usia umat baginda terlalu pendek. Hal ini menyebabkan Rasulullah SAW menjadi sedih, kerana amalan umat baginda tidak dapat menandingi amalan umat-umat terdahulu yang usia yang berates tahun bahkan ada yang mencecah seribu tahun.

Maka untuk menghiburkan hati Rasulullah SAW yang begitu kasihkan umatnya maka Allah SWT telah menganugerahkan Lailatul Qadar kepada umat ini.

Riwayat lain mengatakan, suatu ketika Rasulullah SAW menceritakan kepada sahabatnya seorang yang sangat saleh dari kalangan Bani Israil yang telah menghabiskan hidupnya untuk berjihad selama seribu bulan. Mendengar hal ini para sahabat begitu cemburu kerana mereka merasa tidak mungkin dapat mencapai hal seperti itu, maka Allah SWT pun menganugerahkan malam ini kepada mereka sebagai penggantinya.

Dalam satu lagi riwayat yang lain pula, Rasulullah SAW pernah menyebut empat orang yang sangat saleh dikalangan Bani Israil yang menghabiskan hidup mereka selama 80 tahun berterusan dengan beribadah kepada Allah SWt, menyembahNya dan tidak pernah ingkar kepadaNya.

Mereka itu adalah Nabi Ayub AS, Zakaria AS, Hizkiel AS dan Yussa’ AS. Mendengar kisah ini, para sahabat pun merasa takjub. Kemudian muncullah Jibril AS membacakan Surah Al-Qadr yangmenyebutkan keberkatan malam yang istimewa ini.

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar”

Ayat ini menerangkan bahawa pada mala mini Al-Quran telah diturunkan lari Lauh Mahfudz (Papan yang terpelihara disisi Allah SWT) kelangit dunia. Diturunkan Al-Quran pada malam ini menunjukkan betapa mulianya Lailatul Qadar ini.

Disamping kenyataan ini, sebagai bukti tentang mulianya malam Lailatul Qadar dimana AL-Quran yang agung diturunkan didalamnya, keberkatan dan keutamaan lainnya pula tertulis dalam Surah ini. Kemudian untuk menarik semangat dan perhatian kita, Allah SWT berfirman:-

“Dan tahukah kamu apakah itu Lailatul Qadar?”

Dengan perkataan lain dikatakan “Tahukah kamu, betapa besarnya dan pentingnya malam ini? Tahukah kamu apakah kurnia dan keutamaan yang terkandung didalamnya? Setelah itu Allah SWT menyebut beberapa keutamaan Lailatul Qadar.

“Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan.”

Maksud ayat diatas adalah, bahawa pahala beribadah pada malam itu adalah lebih baik daripada beribadah selama seribu bulan. Berapa besarnya keutamaan itu , sungguh tidak dapat diketahui, hanya berada didalam pengetahuan ataupun Ilmu Allah yang Maha Agung.

“Pada malam itu turun malaikat-malaikat, dan Jibril pada malam itu dengan izin Tuhannya sambil membawa hal-hal yang baik, mereka turun kebumi.”

Sebuah penjelasan yang amat indah mengenai ayat ini telah dikemukakan oleh Imam Razi rah.a. Beliau menerangkan bahawa ketika manusia pertama diturunkan kebumi, pada mulanya para malaikat melihatnya dengan perasaan yang tidak berapa suka dan berkata kepada Allah SWT “Ya Allah, apakah Engkau akan menciptakan makhluk yang akan berbuat kerosakan dimuka bumi dan menumpahkan darah?”

Begitu juga contohnya sebelum kita dilahirkan kedunia, kita berasal dari setitis air mani yang jijik dan dipandang hina. Namun apabila Allah SWT menjadikan dari setitis air mani ini menjadi seorang bayi yang cantik, maka tumbuhlah kasih sayang dan kecintaan didalam hati kedua orang tuanya.

Demikianlah halnya apabila dengan taufik dari Allah SWT, manusia sibuk beribadah kepada Allah SWT dimalam ini, menyembahNya serta memujiNya maka para malaikat akan turun kepada mereka untuk meminta maaf atas apa yang mereka katakan dahulu kepada manusia.

“Malam itu (penuh) dengan keberkatan sampai terbit fajar.”

Ayat ini tidak bermaksud bahawa keberkatan itu hanya diturunkan pada sebahagian malam dan tidak ada pada sebahagian lainnya pada malam yang sama tetapi sepanjang malam itu para malaikat terus menerus menurunkan keberkatan kepada orang-orang yang beriman sampai tiba masuk waktu Subuh.

No comments:

Post a Comment