Pelayaranku

Pelayaranku

Tuesday, August 2, 2011

PENGALAMAN MELIHAT ANAK BULAN

Anda pernah berpengalaman melihat anak bulan? Tidak ramai diantara kita yang pernah melihat anak bulan secara ‘live’ ataupun secara langsung.
Selalunya kita hanya mengetahui tarikh permulaan dengan mendengar pengisytiharan di televisyen melalui penyimpan mohor besar. Ataupun selepas keesokan hari atau beberapa hari kita dapat melihat bulan sabit yang jelas kelihatan.

Ini adalah pengalaman yang aku mahu berkongsi bersama kalian. Pengalaman melihat anak bulan ini adalah yang pertama dan terakhir setakat ini. Peristiwa ini bukan berlaku di negara kita tetapi ni Pakistan ketika aku keluar dijalan Allah.

Di banyak negara yang jauh dari Khatulistiwa kita tidak perlu melihat anak bulan seperti yang diamalkan dinegara kita dan dirantau Asia Tenggara ini. Kalau dinegara Malaysia untuk melihat anak bulan hanya ditempat-tempat tertentu dan menggunakan teleskop atau teropong yang canggih. Itupun belum tentu dapat melihatnya.

Kalau anak bulan tidak kelihatan maka terpaksa menggunakan kaedah Falaq Syar’ie iaitu mengikut kiraan yang hanya mereka yang pakar sahaja boleh menentukan tarikh permulaan bulan baru didalam calendar Hijriah.

Di Pakistan dan beberapa negara Arab anak bulan akan jelas kelihatan sehari sebelum bermulanya bulan yang baru. Ini bergantung juga kepada keadaan cuaca dan langit yang cerah. Kalau cuaca mendung atau dilitupi awan maka anak bulan tidak akan kelihatan.

Ketika itu aku berada disebuah daerah di Pakistan yang bernama Milpur. Sudah hampir sebulan aku disana dan sudah dihujung bulan Syaaban. Kemungkinan besar besok adalah 1 Ramadhan. Pada mulanya aku berfikir didalam hati ini bagaimanakah hendak mengetahui tarikh puasa. Adakah mereka juga akan mengetahuinya melalui penyimpan mohor besar Raja-raja.

Apabila aku menanyakan soalan ini kepada Amir Saab aku yang merupakan orang tempatan iaitu Pakistani maka dia hanya tersenyum dan menyuruh aku bersabar kerana aku akan mengetahuinya sendiri, bukan dari mulut sesiapa. Wah! Ini sudah menarik....jerit hati kecil aku.

Selepas Solat Asar berjemaah disebuah masjid dimana kami tinggal selama 3 hari aku dipanggil oleh Amir Saab dan semua jemaah keluar dari masjid untuk melihat anak bulan. Inilah saat yang aku nantikan selama ini.

Berdebar juga apabila keluar dari masjid untuk melihat anak bulan dan seterusnya akan menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini. Apatah lagi ketika ini aku keluar dijalan Allah maka pahalanya akan berlipat kali ganda juga.

“SUBHANALLAH!” Begini rupanya anak bulan. Bukan seperti yang aku sangkakan ataupun sewaktu kecil dan bersekolah rendah selalu melihat melalui kad hari raya lukisan anak bulan sedang menghisap puting. Tidak....itu semua hanyalah sekadar lawak jenaka sahaja.

Bagaimana rupa anak bulan itu. Sukar hendak aku jelaskan kerana ia tidak mudah dilihat sebenarnya dengan mata kasar. Patutlah di Malaysia terpaksa menggunakan teropong yang mempunyai kuasa penglihatan yang begitu jauh. Pembesaran imejnya juga berates kali ganda.

Anak bulan ini hanyalah satu garisan halus yang melengkung seperti sebuah sabit, cuma garisan melengkun itu begitu halus. Kalau sekali imbas kita tidak akan dapat melihatnya. Kita harus mencari dilangit yang begitu luas dimanakah anak bulan itu.

Nasib aku begitu baik kerana ada orang yang sudah nampak kelibat anak bulan itu dan menunjukkan kepada semua jemaah yang ada. Memang satu pemandangan yang begitu indah yang akan terpahat didalam hatiku sampai bila-bila.

Amir Saab aku mengajarkan satu doa agar aku membacanya ketika melihat anak bulan itu. Katanya sekiranya sesiapa yang nampak akan anak bulan lalu membaca doa ini maka dia akan mendapat jaminan dipermudahkan rezekinya selama setahun.

Aku pun membacanya dengan penuh khusyuk. Malangnya doa itu tidak aku hafal dan sudah aku lupa bagaimanakah doa itu.

Bagaimanapun sesiapa yang mempunyai peluang untuk melihat anak bulan ditempat-tempat yang sudah diwar-warkan didalam televisyen cubalah pergi dan menyaksikannya sendiri. Sekiranya diizinkan Allah maka anda adalah orang yang bertuah.

Dari Thalhah bin Ubaidillah, sesungguhnya bila Nabi SAW melihat hilal, Baginda SAW berdoa ;” Wahai Tuhan yang telah menampakkan awal bulan kepada kami dengan aman dan iman, dengan selamat dan Islam, Tuhanku dan Tuhanmu adalah ALLAH, hilal yang benar dan baik. “ ( Riwayat Tirmizi )

No comments:

Post a Comment