Pelayaranku

Pelayaranku

Saturday, August 20, 2011

TRAGEDI BUAH AVOCADO (Dimalam Ke-21)

Peristiwa ini berlaku di bulan Ramadhan dua tahun yang lalu tetapi kesannya masih terasa. Ketika itu adalah hari ke-20 umat Islam berpuasa dan aku baru sahaja pulang dari kerja dilaut. Di Labuan aku ada membeli beberapa pasang kain , pelikat, batik dan kain untuk dihadiahkan kepada ayah emak dikampung.

Isteriku tidak mahu mengikutku pulang kekampung kerana dia tidak berapa sihat. Jadi, aku bercadang untuk pulang seorang kekampungku di Beruas, Perak. Aku bertolak dari rumah selepas Zohor menaiki keretaku. Perjalanan mengambil masa kurang lebih 2 jam dari rumahku di Kedah.

Aku sampai dirumah ayah dan emak selepas bersolat Asar dimasjid kampungku. Memang seronok apabila tiba dikampung, lebih-lebih lagi menjelang bulan puasa ini. Aku sudah terbayang masakan emak iaitu ayam kampung masak pedas. Hampir setiap kali aku pulang ayah akan menangkap seekor ayam untuk dijadikan korban.

Aku sempat mengait beberapa buah kelapa untuk dijadikan minuman berbuka puasa. Emak ada memberitahu yang abang-abang dan kakak-kakak iparku akan turut serta berbuka nanti, meriahlah iftar kali ini. Rindu juga kepada mereka dan juga anak-anak saudara.

Ketika aku meninjau sekitar rumah kampungku, aku melihat sepohon pokok Avocado yang ditanam oleh ayahku berhampiran reban ayam. Memang rezekiku kerana buahnya kelihatan begitu lebat dan ada yang hampir masak ranum.

Anda semua pernah makan buah Avocado? Bagi yang pernah mesti anda menyukai rasanya yang lemak dan berkrim. Buah ini kalau dipasaraya dijual dengan harga dalam 3 hingga 5 ringgit. Kebanyakannya diimport dari luar Negara dan bersaiz kecil. Tetapi yang tumbuh dirumah kampungku ini buahnya bersaiz agak besar dan pokoknya agak rendang.

Apa yang boleh dibuat dengan buah Avocado ini. Macam-macam sebenarnya. Samada dibuat salad, aiskrim ataupun jus milkshake yang memang fresh dan menyegarkan tekak lebih-lebih lagi dibulan puasa ini.

Jam ketika itu sudah pukul 7 petang, hanya beberapa minit sahaja untuk berbuka puasa. Abang-abangku dan kakak-kakak iparku sudah sibuk didalam rumah untuk menyediakan hidangan untuk berbuka puasa. Aku pula sedang asyik mengumpul buah Avocado untuk dibawa pulang.

Mulanya aku hanya memetik sahaja dari bawah pokok kerana banyak buah yang cuma dicapai dengan tangan.

Kemudian aku mengait pula dengan galah buah yang agak tinggi diatas pokok itu. Kerana tidak puas hati aku akhirnya memanjat pokok itu untuk mengambil lebih banyak lagi buah yang sedang hampir ranum diatas.

Dahan dan ranting agak licin dan basah dek hujan yang turun selepas Asar tadi. Namun aku begitu berhati-hati memijak dan berjalan antara dahan dan dahan. Sudah lebih 20 tahun aku tidak memanjat apa pun jenis pokok. Kalau semasa kanak-kanak dahulu memanjat ini adalah perkara biasa bagi aku termasuklah pokok kelapa.

Langit sudah agak gelap dan hampir masuk waktu berbuka. Buah didalam beg plastic yang aku bawa sudah penuh dan aku pun bergegas turun dari pokok. Entah bagaimana aku terpijak dahan yang agak licin dan……

Apabila aku sedar aku sudah terbaring diatas tanah dibawah pokok Avocado itu. Rupanya aku terjatuh dari pokok itu dari belakang dan ketika aku jatuh aku terasa begitu sakit dibahagian pinggang dan tulang belakang…sakit yang amat sangat sehingga aku tidak mampu untuk bangun apatah lagi berjalan.

Hampir sepuluh minit aku terbaring keseorangan dan hendak menjerit tiada suara yang keluar dari mulutku. Aku berasa lemah sekali dan yang bermain difikiranku adalah mungkin tulang belakangku patah atau mungkin aku akan lumpuh sampai bila-bila. Sungguh menakutkan pengalaman itu.

Apabila begitu hampir masuknya waktu Maghrib, emak datang mencariku untuk mengajak berbuka tetapi dia agak terperanjat mendapatiku sedang terbaring ditanah. Dengan segera emak memanggil abangku dan aku diangkat masuk kedalam rumah.

Setelah beberapa kali mencuba akhirnya aku boleh bangun walaupun kesakitan belakang begitu hebat memaksaku untuk berbaring sahaja selepas berbuka puasa. Aku hanya minum dan makan ala kadar sahaja didalam bilik tidur. Malang sungguh aku hari itu.

Selepas Solat Maghrib aku dibawa oleh abangku kesebuah rumah dikampung sebelah untuk diurut. Aku mengucapkan Alhamdulillah apabila tukang urut itu mengatakan yang tiada tulang belakangku yang patah, hanya beberapa urat yang otot yang terkehel.

Selepas diurut hampir sejam maka aku sudah boleh berdiri dan berjalan walaupun perlahan. Sempat juga abangku membebel kepadaku. Rasa macam budak-budak pula ketika itu. Aku sempat menelefon isteriku dan memberitahu apa yang terjadi. Pada mulanya dia mahu datang tetapi aku melarangnya dan mengatakan tiada apa-apa yang serius.

Keesokannya aku dibawa oleh abangku untuk mengurut. Kali ini agak jauh perjalanan itu. Tukang urut itu adalah kawan baik abangku di Bota Kiri. Rumahnya jauh sekali kedalam melalui ladang kelapa sawit dan anak sungai. Setelah diurut oleh tukang urut itu kesihatanku bertambah baik dan aku mula yakin yang aku boleh memandu untuk pulang kerumahku di Yan Kedah.

Nasibku memang baik kerana walaupun jatuh dari belakang 5 meter tetapi ketika itu tanah disitu agak lembut kerana baru lepas hujan. Aku juga sempat mendarat dengan kedua kakiku dan tergelincir dan jatuh terduduk dan terbaring. Segalanya adalah kuasa Allah SWT.

Sehingga sekarang kesakitan belakangku masih terasa lebih-lebih lagi apabila mengangkat benda berat. Aku tidak pula mendapatkan rawatan susulan dimana-mana hospital ataupun pakar kerana tiada apa yang serius.

Begitulah pengalamanku di malam ke-21 bulan Ramadhan. Sepatutnya aku sibuk mencari Malam Lailatul Qadar tetapi bertukar menjadi satu tragedi – TRAGEDI BUAH AVOCADO.

1 comment:

aen said...

Assalam wbt Tuan,

Adakah pokok avocado tersebut masih ada? Saya berminat nak beli buahnya. terima kasih.


email add; ao.ainothman@gmail.com

Post a Comment