Pelayaranku

Pelayaranku

Wednesday, March 30, 2011

TIPS UMRAH Part 2 (Persediaan Sebelum Berangkat)


Ketahuilah menjadi tetamu agung Allah swt bukanlah satu perkara kecil dan dipandang rendah tetapi semuanya adalah pilihan Allah swt semata-mata. Bukanlah kerana kita mempunyai harta yang banyak atau kesihatan tubuh badan tetapi hakikatnya Dia telah menjemput kita untuk datang kerumahNya.



Oleh itu sebelum kita sampai disana bermacam-macam ujian dan halangan yang akan datang dari berbagai sudut dan arah untuk menguji niat dan kesungguhan kita untuk pergi ke Tanah Suci sebagai Tetamu Agung Allah swt. Bersabarlah diatas segala kesusahan itu kerana apabila sampai di Mekah dan Madinah kita akan terus melupakan kepahitan itu kerana telah merasakan satu kemanisan yang belum pernah kita kecapi sepanjang hayat kita.

PERSEDIAAN SECARA FIZIKAL

Yang pertama sekali adalah kesihatan kita harus dijaga. Bermula dengan pemakanan dan diet, kita harus menjaganya agar kita sihat dan fit kerana Ibadah Umrah juga memerlukan tenaga fizikal yang banyak dan keuzuran akan merencatkan aktiviti ataupun rukun-rukun Umrah dapat dilaksanakan dengan sempurna termasuk perkara-perkara Sunat yang dapat memperelokkan Umrah itu tadi.


Meluangkan masa dengan bersenam, berjalan atau berjogging setiap hari adalah satu routine yang perlu kita buat agar kita dapat memaksimakan Ibadah kita dan mengelakkan kita dari letih dan malas untuk beribadah ketika berada disana.


Kalau kita jarang ke masjid, selalulah kemasjid untuk Solat berjemaah agar menjadi satu routine yang akan kita buat ketika berada di Masjidil Haram dan akan kita teruskan ketika pulang dari mengerjakan Ibadah Umrah.


Sediakan pil-pil dan alat perubatan ringkas ataupun kompak untuk dibawa kesana kerana perubahan cuaca dan keadaan persekitaran disana yang tidak dapat dibiasakan oleh tubuh badan kita mungkin akan menyebabkan kita sakit, demam atau batuk. Di Masjidil Haram ada disediakan perubatan secara percuma tetapi kalau dibeli di farmasi memang agak mahal dari Malaysia. Sediakan juga pil-pil multivitamin agar badan kita sentiasa segar dan bertenaga.


Bagi mereka yang merokok, berniatlah untuk berhenti merokok dan berdoalah dihadapan Kaabah agar Allah member kekuatan untuk berhenti dan InsyaAllah Dia akan memudahkan urusan kita dan kita akan terus berhenti dari tabiat yang buruk dan tidak berfaedah ini.


PERSEDIAAN SECARA MENTAL DAN EMOSI


Sebelum kita menjadi Tetamu Agung Allah swt, kita harus membersihkan jiwa kita dari segala keburukan dan kekotoran agar Ibadah Kita diterima dan jiwa kita akan terus bersih setelah diberi pengampunan dari Allah swt. Selalulah Solat Taubat setiap hari dan beristighfar atas segala dosa-dosa lampau dan berdoalah agar Allah memilih kita untuk datang ke Tanah Suci.


Banyakkan bersedeqah kerana ini adalah satu amalan yang dapat memudahkan segala urusan kita menjadi Tetamu Allah. Ingatlah ini semua adalah pilihan Allah swt semata-mata. Berbuat baik kepada ibubapa, adik-beradik, saudara-mara, jiran tetangga dan masyarakat agar mereka turut mendoakan agar segala urusan kita dipermudahkan.


Kurangkan hiburan yang melalaikan dan banyakkan ibadah Sunat seperti membaca Al-Quran, berzikir dan Solat Malam. Ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah swt dan kita akan lebih fokus kepada Umrah yang akan kita laksanakan nanti.


Sebelum kita pergi ke Kursus Umrah yang dianjurkan oleh Travel Agency kita, belilah buku tentang Sejarah Mekkah dan Madinah supaya kita mendapat gambaran tentang kedua-dua Tanah Suci dan mengambil iktibar dalam program ziarah ketika berada disana. Belilah kain ihram yang sesuai untuk cuaca disana, satu pasang sudah mencukupi kerana disana kita boleh membeli lagi sepasang dengan harga yang lebih murah.


Banyakkan bertanya kepada mereka yang pernah kesana tentang apa sahaja persoalan yang bermain difikiran kita termasuk perkara yang kita malu bertanya kepada orang lain. Kalau kita kesana bersama pasangan kita, selalulah berbincang dan bermuzakarah bersama agar masing-masing terus fokus dan tawajjuh dalam ibadah nanti. Anak-anak kita juga harus diberitahu secara ringkas apakah itu Umrah dan kelebihannya agar mereka juga faham dan tahu kenapa kita hendak kesana.


Disunatkan kita memberitahu orang yang rapat dengan kita termasuk jiran berhampiran sebelum kita berangkat. Settlekan segala hutang-piutang yang terdaya sebelum hari bertolak. Jangan ditangguh sehingga kita kembali kerana kita tidak tahu apakah kita akan kembali atau dipilih oleh Allah swt untuk bertemu denganNya.


Minta ampun dan maaf kepada semua orang yang kita kenali diatas segala kesalahan samada sengaja ataupun tidak sengaja. Kalau orang itu jauh kita boleh menghubungi melalui telefon, email, FB dan sebagainya.


Selebihnya kita harus bertawakkal diatas segala ketentuan dari Allah swt kerana kita telah membuat yang terbaik, berusaha bersungguh-sungguh tetapi keputusan yang terakhir adalah ditanganNya. Dia yang menentukan samada kita ini dipilih untuk menjadi TetamuNya. Berdoalah semoga Dia mempermudahkan segala urusan kita sewaktu berada diTanah Suci dan mendapat Umrah yang Mabrur.

No comments:

Post a Comment